Misi 2025, Tingkatkan Kemahiran Untuk Pencapaian Peribadi

Wehh..dah nak hujung bulan 2 di tahun 2025 baru sempat aku nak tulis pasal misi aku tahun ni dalam blog. Tahun ni juga dah 16 tahun aku dalam dunia blogging ni. Masih setia menulis di sini walaupun tak sekerap macam masa mula-mula aku blogging dulu. 

Ada yang kata dah tak relevan tulis blog sebab takde orang nak membaca. Tapi aku peduli apa. Blog ni adalah tempat aku ekspresi diri sendiri selain tempat aku cari makan. Takde orang nak baca? It's okay. Aku baca sendiri pun boleh. Hahaha.

Tahun 2025 ni juga upgrade umur aku jadi 14 tahun. Eh..perasan! Hahaha. Tua dah aku weh. Macam tak percaya yang dah nak 41 tahun bulan Ogos 2025 nanti. Masih terperangkap diri aku yang muda belia gitu. Tu yang perasan awet muda gamaknya. Hihi. Tak la. Aku sedar je umur dah meningkat. Sebab itu la tahun ni aku plan nak upgrade macam-macam kemahiran yang aku sedia expert dah. Ecewah. Takde la expert mana. Tapi boleh la.




Kemahiran Yang Aku Upgrade


1. Pengajian Al-Quran

Sebenarnya aku jarang tinggal membaca al-Quran semenjak aku khatam masa umur 9 tahun sampai sekarang. Tiap kali lepas solat Maghrib atau ada kelapangan bila-bila masa, aku akan mengaji. Kalau misal kata tinggal lama-lama contohnya seminggu ke, nanti aku rasa serba tak kena je diri aku ni ha. Bukan nak kata aku ni terer sangat pun mengaji, tapi benda tu dah jadi kebiasaan aku.

Bila dah masuk 4series ni, ada la keinginan nak belajar dengan lebih mendalam pasal al-Quran. Selain nak betulkan bacaan sendiri, aku sebenarnya memang dah lama simpan impian nak ajar orang mengaji jugak. Tapi aku takde keyakinan. Sebab tu bila dapat tahu yang Kolej Al-Quran Terengganu ada buat kursus Pengajian Al-Quran untuk orang dewasa, aku terus simpan niat nak apply tahun 2025 ni. 

Alhamdulillah dipermudahkan Allah. Dapat daftar dan masuk pengajian peringkat Ulum 3 terus. Skip Ulum 1 dan Ulum 2 sebab dah ada kemahiran membaca al-Quran dengan lancar. Cuma ada la terkincit dekat tajwid sikit. Kelas aku dah start minggu pertama bulan Februari hari tu. Minggu ni dah minggu yang ketiga. Kelas aku setiap hari Sabtu selama 2 jam. 6 tahun jugak la pengajian aku ni nanti. Lama kan? Macam ambik PhD. Hihi. 

Aku plan dalam pada tempoh tu, aku akan cuba start mengajar mengaji juga andai Allah izinkan. Target aku bebudak kat kampung ni dulu walaupun ada kengkawan request aku buka kelas mengaji online ajar dorang personal. Tengok la macam mana nanti. Semoga Allah permudahkan niat dan impian aku nan satu ni.

Korang pun kalau ada niat nak belajar mengaji Quran, teruskan tau. Tak payah malu. Belum terlambat nak belajar walaupun umur dah meningkat ke usia senja. Kelas aku masuk ni pun ramai golongan veteran umur 50 ke atas tau. Sedap dengar depa mengaji bila kami dah habis kuliah kena mengaji sorang demi sorang.


Buku Kuliah aku. Kena rajin telaah. Nanti masuk final exam.


2. Kelas Menjahit

Sebenarnya aku reti je menjahit. Jahit yang mudah-mudah. Tudung, baju, seluar. Boleh la sikit-sikit. Mak aku yang ajar skill ni. Dulu mak aku rajin menjahit tau. Baju raya atau baju basahan kami, mak yang jahit. Aku memang selesa pakai baju dan seluar yang mak aku jahit. Sekarang mak dah tak larat dah. Tangan dan kaki dah sakit-sakit. Umur pun dah 71 tahun. Jadi, aku ambil inisiatif la untuk upgrade skill yang aku dah ada ni.

Aku daftar kelas online dengan Akademi Jarum Terbang. Belajar melalui video je memandangkan kekangan aku nak keluar pergi kelas lama-lama agak susah juga. Lagipun aku dah pergi belajar pengajian al-Quran secara fizikal tu pun aku dah bimbang duk fikir tinggal mak mertua aku yang tak sihat tu ha walaupun kelas 2 jam je.

Jadi, belajar sendiri je la dengan kelebet video. Tapi ada je group whatsapp untuk kita bertanya dengan cikgu-cikgu dari Akademi Jarum Terbang. Kalau rasa ada yang tak faham atau nak tanya apa-apa soalan berkaitan proses menjahit onz je 24 jam.

Best la jugak kelas online ni. Mudah faham. Awal Januari hari tu sebelum masuk kelas menjahit online yang berbayar ni, aku join dulu kelas percuma. Cikgunya ajar bab alteration. Aku dah tahu dah tips dan trick cara mudah macam mana nak tukar zip rosak sendiri, kecikkan pakaian yang gedebeh dan seangkatannya. Nanti dapat la aku alter sendiri je takyah hantar kedai dah. Hihi. Sebab berkenan cara cikgu ajar tu yang aku terus masuk kelas yang berbayar.

Menjahit ni sebenarnya perlukan minat juga. Kalau tak minat memang takkan jadi. Tapi kalau korang nak belajar skill menjahit yang mudah-mudah macam jelujur untuk jahit lencana sekolah dan nametag anak atau repair pakaian koyak, tak jadi masalah pun. Belajar la kalau ada peluang dan kesempatan. Rasanya online banyak kot video yang percuma boleh tengok. Yang penting kena praktis je.

Ni la kelas percuma yang aku join tu. Best cara cikgu Amin tu ajar.


3. Kelas Design Canva

Aku nak jadi canva designer pulak selain freelance graphic designer. Tiber. Hihi. Aku masih je buat design guna Adobe Photoshop dan Illustrator.

Memandangkan sekarang ni Canva tengah in trend dan lebih fleksibel sebab boleh akses guna apps kat phone je, jadi aku decide untuk belajar lebih mendalam pasal Canva ni. Bukan tak pernah buat design guna Canva, cuma Canva ni ada jugak tools yang aku tak biasa guna. Bila masuk kelas, aku dapat belajar tips and tricks yang lebih advance dari orang yang dah expert guna Canva. Aku kan baru nak 'bercinta' dengan si Canva tu. Hihi. 

Sumpah best gila kelas Canva yang aku join anjuran Tuan Hilmi Jailani (pengasas Kelas Mahir Canva) selama 40 hari masa bulan Januari hingga awal Februari hari tu. Tak menyesal invest duit weh. Banyak sangat ilmu design guna Canva yang aku dapat. Dan sebenarnya aku memang dah start buat bisnes dengan design guna Canva sebelum ni. Poster dan macam-macam lagi aku dah design dengan Canva. Tahun ni aku plan nak buat bisnes design dan printing Sampul Raya. Dah dapat customer dah pun. Yeay!

Kalau korang nak upah aku design, jangan segan silu roger aku tau.


Aku graduate dah Kelas Insentif Canva. Hihi.


Sampul Raya aku design untuk blog ni.



4. Kelas Menulis

Sebelum ni aku banyak join kelas ghostwriter, copywriting dan content writing untuk brush up skill menulis aku untuk client. Tahun ni aku masuk kelas menulis yang khusus untuk diri aku sendiri terbitkan buku. 

Masih on going kelas 100 hari dengan Puan Rahmah Saad - Bengkel Cabaran 2025 Tulis Buku. Aku baru merangkak ni ha nak siapkan proposal untuk semakan Kak Rahmah. Nanti nak kena siapkan pulak chapter by chapter. Poningggg.

Semalam dengan hari ni (22-23 Februari) aku join Himpunan Penulis Swa-Terbit (HIPS) 2025 anjuran Book Hero dan Aswara. Banyak gila ilmu dan tips pasal penerbitan buku yang aku dapat belajar. Sumpah tak menyesal melabur walaupun memula tu aku macam sekejap nak join, sekejap tak nak. Hahaha.

Alhamdulillah. Sebenarnya Allah juga yang izinkan. InsyaAllah tahun 2025 ni impian aku nak ada buku solo akan jadi kenyataan. Akhirnya seketul Sakdah dapat Jadi Seorang Penulis macam yang dia bebelkan dalam blog ni 13 tahun lalu.

Nanti buku aku dah terbit, korang support la tau. Beli okay buku aku. Hihi.

Group whatsapp untuk Kak Rahmah pantau 33 orang penulis siapkan buku masing-masing termasuk la aku




Webinar HIPS2025 yang aku sertai sebagai salah seorang dari 3 peserta online yang lain sebab kami tak dapat hadir secara fizikal.



Kadang aku terfikir, sebenarnya apa je yang pernah terdetik di hati dan kita pernah tulis sebagai impian, lambat laun Allah akan izinkan jadi kenyataan bila dah sampai masa yang sesuai. Jadi kesimpulannya, fikir dan tulislah yang baik-baik. 

Bisik-bisik ::  Doakan yang baik-baik untuk aku tau! Moga doa yang sama berbalik pada korang juga.

Catat Ulasan

Membebel dengan penuh hemah. Komen awak adalah atas tanggungjawab sendiri. No hate speech okay. Terima kasih!

Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan